Copyright © amyno
Design by Dzignine
Sunday, 4 March 2018

tazkirah ringkas

Larangan Memutuskan Hubungan Silaturrahim


Larangan Memutuskan Hubungan Silaturrahim

Dalam pergaulan kita seharian, kita tidak akan terlepas daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mengguris atau menghiris hati dan perasaan orang lain sama ada secara sedar ataupun tidak. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja baik hubungan antara ibu bapa dan anak, hubungan antara adik beradik, sahabat handai, kawan sepejabat, jiran tetangga dan masyarakat.

Lazimnya perkara ini berlaku adalah berpunca daripada berlakunya sesuatu pertengkaran atau pergeseran, sifat sombong, merasakan dirinya sahaja yang betul, berselisih pendapat tentang hal-hal yang remeh, tidak menghormati dan menghargai perasaan orang lain dan sebagainya.  Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan baik, maka akan berlakulah keretakkan dan kerosakkan hubungan silaturrahmi sesama kita di mana ianya amat dibenci sama sekali oleh Islam.

Saudara,
Islam amat melarang keras umatnya memutuskan hubungan silaturrahmi. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran kepada manusia tentang sifat-sifat tercela ini. Ia sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Jangan saling membenci, jangan berhasad dengki, jangan membelakangi kepentingan saudara-saudara kamu, dan jangan memutuskan silaturrahmi, tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seseorang Muslim memulaukan saudaranya lebih daripada tiga hari.
(Muttafaqun ‘alaih)

Lihatlah bagaimana sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat suatu ketika dahulu. Mereka telah menunujukkan contoh yang terbaik dalam sejarah umat manusia di mana mereka dapat disatukan atas dasar akidah walaupun datang daripada pelbagai suku kaum dan latar belakang yang berbeza. Subhanallah, begitu hebatnya hubungan silatirrahmi yang dibina antara mereka.

Oleh itu, marilah bersama kita menjaga hubungan silaturrahmi sesama kita dengan baik, elakkan daripada permusuhan dan persengketaan, contohilah Rasul s.a.w dan sahabat di dalam menjalinkan hubungan silaturrahmi sesama mereka. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang disayangi oleh Allah SWT disebabkan menjaga hubungan silaturrahmi yang mulia ini, InsyaAllah.


Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam
Tazkirah Jumaat 7 Julai 2017/  Syawal 1438H

 

Beramallah Dengan Ilmu Yang Telah Dipelajari




Beramallah Dengan Ilmu Yang Telah Dipelajari

Pada minggu yang lalu, kita telah membicarakan berkenaan kewajipan menuntut ilmu. Namun di samping kewajipan kita di dalam menuntut ilmu, adalah menjadi suatu tanggungjawab kita juga untuk mengamalkan serta mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari. Kita tidak perlu untuk menunggu sehingga sesuatu ilmu itu banyak untuk mengamalkannya, Amalkanlah setiap ilmu yang kita sudah mempelajarinya meskipun sedikit asalkan kita berusaha dan ikhlas dalam mengamalkannya.

Antara cara kita mengamalkan sesuatu ilmu yang telah dipelajari itu adalah dengan mengajarkannya atau berkongsi dengan orang lain.  Pepatah arab pernah mengatakan bahawa:

الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ
Maksudnya:
“Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”

Maksudnya, sebesar mana pun sesuatu pohon itu, tetap tidak dapat memberikan manfaat kepada sesiapa pun sekiranya pokok tersebut tidak menghasilkan dan mengeluarkan buah. Begitulah juga perumpamaannya dengan ilmu. Sehebat mana atau setinggi mana ilmu seseorang itu, tetapi kalau tidak diamalkan atau perkongsikan samalah seperti pohon yang tidak berbuah.

Syeikh Abdurrahman bin Qasim rahimahullah juga pernah mengatakan bahawa:
“Amal adalah buah dari ilmu. Ilmu itu ada dalam rangka mencapai sesuatu yang lainnya. Ilmu diibaratkan seperti sebuah pohon, sedangkan amalan adalah seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih buruk keadaannya daripada orang bodoh.”

Oleh itu saudara, amalkanlah sesuatu ilmu walaupun sedikit kerana ia pasti akan membawa keberkahan dalam hidup kita. Begitu juga, janganlah kita meninggalkan ilmu yang telah kita pelajari kerana lambat laun ilmu itu pasti akan hilang dan lari meninggalkan kita. Sebaliknya, genggamlah ilmu itu dengan kuat, nescaya ilmu itu pasti akan memberi manfaat kepada kita baik di dunia, mahupun di akhirat.

Akhir sekali, marilah bersama-sama kita mengamalkan doa yang pernah dibacakan oleh nabi s.a.w yang berbunyi:
” Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima”.
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Doa ini pernah dibacakan oleh nabi s.a.w selepas selesai menunaikan solat fardu subuh. Mudah-mudahan kita dikurniakan kita ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, amalan yang diterima serta diberikan kekuatan untuk mengamalkan setiap ilmu yang telah kita pelajari sehingga akhir hayat kita, allahumma amin.

Sekian
Dikeluarkan oleh Pejabat Imam


0 comments:

Post a Comment